Print

Director General's Message

This document only available in Malay Language.

Bismillaahirrahmaanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Terlebih dahulu saya memanjatkan setinggi kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan perancangan dan ketentuanNya saya diberi peluang bersama dengan warga MdI untuk memikul tanggungjawab serta menjalankan amanah yang agak berat untuk dilaksanakan.

Dengan izin Allah, saya yakin saya mampu mengalas tanggungjawab dan menjalankan amanah tersebut. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2) ayat 286 yang bermaksud:-

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir".

Saya percaya kerja keras semua di sini dulu dan sekarang telah menjadikan MdI sebagai agensi Kerajaan terunggul dalam pengurusan Insolvensi. Untuk mengekalkan kedudukan ini saya memerlukan sokongan, komitmen dan kerjasama semua warga MdI.

MdI perlu menjaga imej yang bersih agar terus dihormati dan dipercayai bukan sahaja masyarakat di negara ini tetapi juga di peringkat antarabangsa. Oleh yang demikian, MdI perlu memastikan pentadbiran, perkhidmatan dan penguatkuasaan pengurusan Insolvensi diperkukuhkan dengan mengadakan kerjasama dan perkongsian strategik dengan institusi luar dalam mencapai objektif tersebut.

Di samping itu, MdI juga amatlah menghargai dan mengalu-alukan sebarang komen yang membina atau cadangan-cadangan penambahbaikan bagi mewujudkan sebuah organisasi unggul dalam pengurusan Insolvensi dan memberikan perkhidmatan yang adil dan saksama.

Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda melayari laman web MdI. Semoga maklumat yang dipaparkan dapat menambahkan pengetahuan serta dijadikan panduan dalam menguruskan kewangan diri dan keluarga.

 

Datuk Abdul Rahman Putra bin Dato' Haji Taha
Director General
Malaysia Department of Insolvency